Sunday, February 27, 2011

CTU 551

TAJUK: TOKOH IMAM MAHATHIR BIN MD NOOR
DISEDIAKAN OLEH: NORAISHAH BINTI AZMI /2010898474/BMB2Bc
DISEDIAKAN UNTUK: USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN/PENSYARAH CTU 551
PROGRAM: HRM BM223
TARIKH SERAH: 28/2/2011

ISI KANDUNGAN
TAJUK: Tokoh Imam Mahathir bin Md Noor
                1) Isi Kandungan
                2) Pendahuluan
                3) Abstrak
                4) Latar Belakang
                5) Pendidikan & Kerjaya
                6) Pengalaman Manis
                7) Pengalaman Pahit
                8) Sumbangan
                9) Masalah & Cabaran
                10) Harapan
                11) Penutup


PENDAHULUAN
Imam (bahasa Arab: إمام) bererti pemimpin. Dalam erti biasa Imam adalah individu yang dilantik bagi memimpin golongan para jemaah ketika melakukan ibadahsolat atau amal kebaikan. Erti lain ialah mereka yang diberi kepercayaan menjadi pemimpin bagi satu kumpulan untuk memimpin ke jalan yang benar (Khalifah).
Secara falsafahnya, di dalam solat sendiri Allah Taala telah mengajar kita supaya memilih imam (pemimpin solat) yang baik dari segi bacaannya sebagai pilihan utama. Imam tidak dipilih kerana kekayaan, keturunan ataupun pangkat. Seorang imam yang tidak disukai oleh masyarakat kerana tabiat buruknya, atau sikap mazmumahnya, tidak sepatutnya menawarkan dirinya menjadi imam sekalipun ramai ulama berpandangan solatnya tetap sah. Hal ini berdasarkan hadith Baginda SAW, mengenai 3 golongan yang solatnya tidak diterima antaranya ;
[ Imam (pemimpin solat) kepada sesuatu kaum sedangkan mereka membenci imam tersebut… ] R.A Tirmidzi.
Tanpa ilmu pengetahuan, institusi masjid bukan sahaja tidak dapat diurus dengan baik, malah masyarakat atau kariahnya bakal melalui kehidupan tanpa pembimbing ke jalan yang benar. 

Peranan imam bukan sekadar untuk memimpin solat berjemaah atau fardhu ain tetapi lebih daripada itu khususnya untuk memainkan peranan dalam menggerakkan masjid menerusi aktiviti yang mampu menarik minat masyarakat. 

ABSTRAK
Seorang imam akan bertakbir sebelum para-makmumnya mengangkat takbir, bersujud sebelum para-makmum bersujud dan secara tidak langsung, kepimpinan tersebut wujud di dalam ibadat seperti solat. Sekiranya ada jemaah yang masbuq, jemaah solat wajar memilih seorang imam yang menepati kriteria-kriteria Islami dan kefahamannya terhadap agama. Nyatalah di sini bahawa jawatan imam bukannya tasyrif (untuk dimuliakan), tetapi adalah taklif (tanggungjawab).

Sekiranya imam salah bacaannya, maka makmum wajar menegurnya. Tidak ada kebaikan kepada umat itu yang tidak menegur kesilapan pemimpin, kerana itu peranan ilmuan sangat penting untuk menegur dan menasihati imam-nya (pemimpin). Daripada Abu Mas’ud al-Ansori r.a., Nabi SAW bersabda : ‘sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutnya’. Menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang imam adalah berat lagi mencabar, maka mereka perlu diperlengkapkan dengan ilmu secukupnya supaya mampu menjalankan tugas dengan berkesan. 

LATAR BELAKANG
Nama penuh imam kedua di Masjid Jamek Kampung Melayu, Johor Bahru yang telah saya temubual ialah Mahathir bin Md. Noor. Imam Mahathir telah dilahirkan pada 4 Oktober 1982 di Muar, Johor dan telah dibesarkan oleh keluarganya di Muar. Hasil perkahwinan di antara ayah Imam Mahathir iaitu Hj Md. Noor bin Mahmud bersama isterinya Hjh Salamah, mereka telah dikurniakan dengan 8 orang cahaya mata di mana Imam Mahathir merupakan anak ke-4. Imam Mahathir telah berkahwin dengan isterinya melalui pilihan keluarga iaitu Siti Hajar binti Basir dan telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata diamana yang sulung adalah anak perempuan berusia 4 tahun manakala yang ke-2 dan ke-3 merupakan kembar lelaki yang berusia setahun lebih. Sekarang ini Imam Mahathir dan keluarganya menetap di kuaters imam yang dibina bersebelahan dengan Masjid Jamek tersebut.

PENDIDIKAN & KERJAYA
Imam Mahathir telah menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah rendah di Muar. Setelah tamat sekolah rendah pada usia 12 tahun, kemudian Imam Mahathir telah melanjutkan pelajaran di sebuah Institut  Tahfiz di Jeram Selangor. Disana Imam Mahathir telah menerima pelbagai ilmu khususnya dalam bidang pengajian Islam, tajuwid dan selainnya. Setelah menamatkan pengajiannya di Institut Tahfiz tersebut, Imam Mahathir telah pun menyambung lagi pengajiannya berkenaan Islam di Akademi Islam. Setelah berhempas pulas dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, akhirnya Imam Mahathir berjaya menamatkan pengajiannya ketika dalam lingkungan usia 20-an.
Setelah itu dengan berbekalan ilmu pengajian yang ada, Imam Mahatir telah menghadiri temuduga bagi menjadi imam. Pada temuduga tersebut, Imam Mahathir telah mengisi borang yang berkenaan dan juga melalui ujian hafazan serta ujian-ujian kelayakan yang lain. Alhamdulillah dalam usia yang begitu muda, Imam Mahathir telah mendapat kontrak untuk menjadi imam sementara di Masjid Larkin, Johor Bahru selama 2 tahun. Setelah itu, Imam Mahathir telah dilantik secara tetap untuk menjadi imam ke-2 di masjid yang sekarang ini iaitu Masjid Jamek Kampung Melayu, Johor Bahru. Sehingga detik sekarang ini, Imam Mahathir telah berkhidmat selama 3 tahun di Masjid Jamek ini dengan mengharungi pelbagai pengalaman pahit manisnya sebagai imam.

PENGALAMAN MANIS
Antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh Imam Mahathir adalah terlalu banyak. Salah satu daripadanya ialah Imam Mahathir telah diberi pengiktirafan sebagai imam muda contoh kepada masyarakat di kawasan masjid tersebut. Baginya pengiktirafan itu adalah sangat berharga kerana dapat menaikkan semangat beliau untuk terus maju dalam hidup di samping menjadi contoh terbaik kepada keluarga, para jemaah masjid, dan masyarakat. Imam Mahathir juga akan berasa amat gembira jika setiap kali aktiviti masjid dijalankan, ramai yang turut serta. Beliau merasakan setiap apa yang dilakukan itu berjaya dan berbaloi jika ada yang menyertainya. Sebagai contoh, ceramah yang dihadiri oleh ramai jemaah akan membuat Imam Mahathir berasa dihargai dan pengalaman itu amatlah manis sekali.

PENGALAMAN PAHIT
Seseorang manusia itu tidak akan pernah terlepas dari ujian Allah SWT. Setiap cabaran ataupun ujian yang di hadapi hendaklah di terima dengan tabah, sabar dan redha. Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Nabi SAW bersabda, maksudnya : ‘Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cabaran kepadanya’. (Hadis riwayat al-Bukhari). Begitu juga dengan Imam Mahathir. Terlalu banyak pengalaman pahit yang hendak di ceritakan ketika di ajukan soalan ini. Namun ternyata Imam Mahathir seorang yang tabah serta redha dengan ujian Allah SWT kerana beliau hanya menceritakan pengalamannya ketika menjadi imam sementara di Masjid Larkin, Johor Bahru. Rumah sewa yang Imam Mahathir duduki telah diserang oleh anai-anai yang sangat banyak. Namun begitu , atas kesabaran beliau, ujian itu dibalas Allah SWT dengan mendapat tempat tinggal baru di kuarters yang di sediakan khas untuk imam di Masjid Kg. Melayu. Baginya pengalaman pahit itu penting dalam diri setiap imam kerana pengalaman pahit mengajar diri erti kehidupan dan kesabaran.

SUMBANGAN
Selain daripada hanya menjadi Imam di masjid, Imam Mahathir turut menyumbang dari pelbagai segi. Imam Mahathir telah membuka kelas mengaji di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan masjid. Kelas mengaji Al-Quran tersebut bukan sahaja di boleh dihadiri oleh golongan kanak-kanak yang baru sahaja mengenali apa itu Quran malah boleh juga dihadiri oleh golongan dewasa yang ingin memantapkan ilmu tajwid. Kelas Mengaji Al-Quran ini biasanya akan diadakan pada waktu selepas solat Zohor ataupun selepas solat Asar, semuanya bergantung kepada waktu lapang setiap pihak. Selain itu, Imam Mahathir juga turut menyumbang dalam acara bola sepak. Beliau bukan sahaja pandai bermain bola sepak, malah turut menjadi jurulatih kepada kumpulannya. Mereka biasanya bermain bola sepak pada waktu petang bagi menjaga kesihatan dan juga meningkatkan stamina diri masing-masing. Melihat kepada keaktifan Imam Mahathir dalam bidang sukan, ia memberi contoh kepada masyarakat sekililing akan kepentingan bersukan dan menarik lebih ramai lagi masyarakat untuk menyertai aktiviti masjid. Imam Mahathir juga selalu hadir di banyak tempat bagi menyampaikan ceramah keagamaan.

MASALAH & CABARAN.
Setiap manusia tidak akan pernah dapat mengelakkan diri dari diuji oleh Allah SWT. Sesungguhnya setiap cabaran yang diterima itu akan menjadikan manusia lebih baik dan belajar dari kesilapan. Sepanjang menjadi imam tidak kira di Masjid Larkin ataupun Masjid Kampung Melayu, Imam Mahathir telah pun mengharungi pelbagai cabaran dan masalah. Antara cabaran terbesar yang pernah dihadapi oleh Imam Mahathir sendiri adalah dari segi meningkatkan kualiti bacan surah dan tajwid sendiri. Imam Mahathir telah menghadiri satu kursus imam dimana dalam kursus tersebut, para imam dan bakal imam di ajar gaya membaca Al-Quran yang betul termasuk dari segi tajwidnya. Mereka turut diajar bagaimana hendak menjadi khatib untuk membaca khutbah semasa solat Jumaat.
Selain itu, Imam Mahathir juga menghadapi masalah dalam memastikan kerjayanya setiap hari sebagai imam dan juga ketua di dalam keluarga berjalan lancar. Sebagai ketua di dalam keluarga, Imam Mahathir perlu sentiasa memastikan hubungannya bersama keluarga adalah erat dan juga menjaga kebajikan setiap ahli keluarganya iaitu makan minum, pakaian, tempat tinggal dan selainnya terhadap isteri, anak perempuan serta anak kembar lelakinya. Sebagai seorang imam pula, Imam Mahathir perlu sentiasa memastikan Masjid Jamek itu sentiasa berada dalam keadaan teratur. Imam Mahathir perlu sentiasa berhubung dengan bilal dan juga norja bagi sama-sama menguruskan masjid. Norja di masjid haruslah sentiasa memastikan keadaan di tempat wuduk bersih, sejadah dibentang ketika hendak diguna dan dilipat dengan kemas ketika selesai di gunakan. Jikalau tiada norja , maka bilal dan juga imam hendaklah menjalankan tugas ini. Mereka harus sentiasa peka dengan keadaan semasa didalam dan juga diluar masjid.
Memastikan adanya ramai jemaah setiap kali masuknya waktu solat juga merupakan antara masalah yang perlu ditangani oleh Imam Mahathir sebagai imam. Daripada Ibu Abbas r.a., Nabi s.a.w bersabda: “Pertolongan Allah bersama jemaah.” Masjid-masjid juga hanya akan dikunjungi oleh para jemaah ketika waktu-waktu tertentu sahaja. Contohnya, pada waktu subuh akan kurang dihadiri oleh para jemaah kerana kebanyakkan lebih memilih untuk menunaikan solat subuh di rumah sahaja. Hal seperti inilah yang membawa cabaran kepada Imam Mahathir dan juga imam-imam lain bagi memastikan para jemaah datang solat jemaah setiap kali tiba waktunya.
Imam Mahathir berpendapat bahawa keadaan seperti ini haruslah ditangani dengan segera kerana bimbang generasi akan datang tidak lagi memakmurkan masjid sepertimana yang dilakukan oleh umat di zaman Nabi s.a.w. dahulu kala. Memakmurkan masjid maknanya mengisi masjid dengan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat. Contohnye seperti solat berjemaah, mengadakan majlis ilmu dan tazkirah, membaca Al-Quran dan buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya. Termasuk juga makna memakmurkan masjid ialah mengusahakan apa sahaja perkara yang boleh menjadikan masjid selesa untuk didatangi dan digunakan sehingga pada akhirnya masjid merupakan tempat yang disukai untuk dikunjungi oleh umat Islam. Oleh itu, Imam Mahathir haruslah menarik minat golongan beliauntuk memakmurkan masjid. Imam Mahathir  mahu ada generasi pelapis kepada imam-imam yang sudah berumur dan sebagai orang muda juga akan memudahkan Imam Mahathir mendekati golongan remaja untuk mengajak mereka menyertai jemaah. Imam Mahathir juga mahu memastikan masyarakat Islam di kawasan kafilah bersatu walaupun terdapat perbezaan fahaman politik.

PENYELESAIAN & HARAPAN
Apabila ditanyakan soalan tentang harapan, lantas Imam Mahathir tersenyum. Pertama-tama sekali beliau merujuk kepada dirinya sendiri agar dapat memperbaiki diri sendiri dari masa ke semasa agar dapat dijadikan contoh kepada keluarga dan masyarakat handai. Imam Mahathir juga sentiasa berdoa agar menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT kerana dengan itu beliau barulah boleh memberi contoh teladan dan dapat mengajak orang lain ke arah kebenaran. Imam Mahathir juga berharap dapat menjadi seorang imam yang amanah, sabar dan dihormati oleh masyarakat.
Setelah melihat keadaan semasa di masjid lebih banyak dihadiri oleh golongan dewasa dalam lingkungan 40 tahun ke atas dan jugan golongan veteran, Imam Mahathir berharap dan berdoa agar golongan muda dan belia lebih ramai dapat hadir ke masjid. Masyarakat amatlah digalakkan untuk hadir ke masjid terutama sekali golongan belia bagi mengimarahkan masjid kerana ianya akan memberi contoh kebaikan kepada generasi-generasi akan datang. Sesungguhnya antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat, pada saat tidak ada perlindungan lain selain daripada Allah, ialah orang muda yang hatinya sentiasa terpaut untuk beribadah kepada Allah dan pemuda hatinya yang sentiasa terpaut kepada masjid. Rasulullah SAW tidak menyebut tentang orang tua, kerana menjadi lumrah dan kebiasaannya mereka hadir ke masjid. Tetapi bagi orang muda, Rasulullah SAW merangsang mereka agar menjadi pendukung dan pencinta masjid. Bukan setakat untuk hadir menjadi makmum, bahkan menjadi penggerak utama dalam mengimarahkan masjid.

PENUTUP
Secara umumnya, Imam Mahatir turut menyelitkan beberapa pesanan kepada diri saya sebelum kami mengakhiri perbualan. Antara nasihat yang sempat di sampaikan oleh Imam Mahathir kepada saya ialah agar tidak sesekali mempersekutukan Allah SWT kerana sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar. Seterusnya Imam Mahathir menasihati say agar sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa kerana merekalah yang telah menjaga dan menyayangi diri ini sewaktu dari kecil lagi. Dan hendaklah saya ingat bahawa Allah itu sentiasa mengetahui setiap apa yang kita lakukan. Imam Mahathir turut menegaskan bahawa hendaklah mendirikan sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas bala bencana yang menimpa. Imam Mahathir juga berpesan agar tidak memalingkan muka dari manusia lain dan janganlah berjalan di muka bumi Allah ini dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan membangga diri. Dan sederhanakanlah langkah ketika berjalan juga hendaklah merendahkan suara ketika bercakap kerana sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai. Akhir sekali, Imam Mahathir turut menasihati saya agar mencari ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri dunia dan akhirat.

RUJUKAN
* Imam Mahathir bin Md Noor, Imam Kampung Melayu, Johor Bahru
* Dr Badrul Amin Bahrom, Jangan Bersedih: Zikir Munajat & Tazkirah, 2006, Wholesale-Mart Business       Point S/B, KL ms27-29.
* Shahih Bukhari (Terj), 1997, KlangBook Centre, Klang, hadis no.1815, ms 98 (iv)